Kos tinggi punca tempoh di Madinah 6 hari

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tempoh keberadaan jemaah haji di Madinah dikurangkan daripada lapan kepada enam hari berikutan kos penginapan yang tinggi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Nai’im Mokhtar.

Beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa menanggung kos yang tinggi jika tempoh lapan hari diteruskan.

Bagaimanapun, Mohd Nai’im berkata, TH akan melakukan kajian bagi melihat secara terperinci cadangan menambah tempoh keberadaan jemaah haji di Madinah kepada lapan hari.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung tempoh berada di Madinah yang dikurangkan daripada lapan ke enam hari.

Dr Abd Ghani membangkitkan perkara itu bagi membolehkan jemaah menunaikan solat 40 waktu di Masjid Nabawi sebagaimana dianjurkan hadis.

Mohd Nai’im berkata, bagi musim haji 1446H, TH sudah mengambil langkah untuk memastikan keselesaan jemaah haji, termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan bas di Tanah Suci untuk memudahkan pergerakan jemaah dan memastikan mereka dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa.

Katanya, kemudahan pengangkutan bas itu adalah sebahagian daripada usaha TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Haji negara.

“Pengangkutan ini meliputi pergerakan yang jauh bagi jemaah Haji seperti pergerakan dari lapangan terbang ke bangunan penginapan jemaah haji, pergerakan domestik jemaah haji merentasi Makkah-Jeddah-Madinah dan pergerakan dari bangunan penginapan ke tempat Masyair (Arafah, Muzdalifah dan Mina).

“Bagi memudahkan pergerakan jemaah haji untuk urusan ke Masjidil Haram, TH memastikan semua bangunan penginapan yang disewa berada dalam jarak satu kilometer dari pekarangan masjid,” katanya.

Tambahnya, jarak yang dekat itu memudahkan jemaah untuk berjalan kaki ke masjid.

Bagaimanapun emaah haji turut mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan teksi atau bas awam yang tersedia berhampiran kawasan penginapan.

“Lokasi bangunan penginapan jemaah Malaysia juga adalah jauh lebih dekat dengan Masjidilharam berbanding penginapan jemaah negara lain yang terletak lebih lima kilometer dari masjid,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment