BAITULMUQADDIS – Tentera Israel hanya memerlukan satu petang jika mahu melakukan genosid atau penghapusan etnik di Gaza, kata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Kenyataan angkuh itu dinyatakannya ketika tuduhan masyarakat antarabangsa terhadapnya semakin memuncak ketika kebuluran di Gaza meningkat ke tahap merbahaya.
Dalam satu sidang media, pemimpin itu menafikan tuduhan sengaja membiarkan orang awam kebuluran, malah secara konsisten menafikan dakwaan tenteranya melakukan pembunuhan beramai-ramai di wilayah itu.
Beliau sebaliknya menyalahkan Hamas sebagai punca segala masalah dan mereka harus bertindak bagi mengakhiri perang.
Tegas beliau, usaha gencatan senjata di Gaza kini hanya berpaksikan kepada perjanjian menyeluruh untuk membebaskan semua baki tebusan sekali gus, dan bukannya secara berperingkat.
Dalam wawancara dengan rangkaian berita i24 News Israel yang disiarkan semalam, Netanyahu turut ditanya mengenai peluang perjanjian gencatan senjata separa yang dikatakan sudah berakhir.
Netanyahu menjelaskan, masa itu sudah berlalu dan Israel sudah melakukan pelbagai usaha tetapi terbukti Hamas hanya memperdayakan Israel.
“Saya mahu kesemuanya (tebusan). Pembebasan semua tebusan, sama ada yang masih hidup atau sudah mati, itulah yang kami mahu,” katanya yang menegaskan
Israel akan mengekalkan kawalan keselamatan tanpa had ke atas wilayah itu selepas Hamas melucutkan senjata dan dibubarkan.
Hamas masih menahan 50 tebusan yang diculik dalam serangan 7 Oktober 2023 dan Israel percaya kira-kira 20 daripada mereka masih hidup.
Hamas pula tetap dengan pendirian mahukan perjanjian menyeluruh dan menegaskan, hanya akan membebaskan baki tebusan dengan pertukaran pembebasan rakyat Palestin yang dipenjarakan Israel, gencatan senjata berkekalan, dan pengunduran Israel dari Gaza.
Kenyataan terbaharu Netanyahu mengenai gencatan senjata di Gaza muncul ketika Israel merancang berkemungkinan memindahkan semua rakyat Palestin dari Gaza ke Sudan Selatan.
Nnnn
