Gaza: Turkiye panggil mesyuarat OIC

ISTANBUL – Turkiye akan mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan rancangan Israel untuk menduduki sepenuhnya Semenanjung Gaza.

Menteri Luar, Hakan Fidan, berkata sebagai Pengerusi Majlis Menteri Luar OIC, Turkiye memutuskan untuk memanggil OIC mengadakan mesyuarat.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty di Mesir, Fidan turut mengecam hasrat Israel untuk menduduki sepenuhnya Gaza,

Rancangan Israel ini disifatkan fasa baharu dalam dasar peluasan dan pembunuhan beramai-ramai Israel.

“Turkiye dan Mesir akan terus menentang sebarang senario sedemikian,” tegas beliau.

Menyentuh usaha kemanusiaan Turkiye, Fidan berkata setakat ini kira-kira 102,000 tan bantuan kemanusiaan telah dihantar ke Gaza dengan kerjasama rapat Mesir dalam menyampaikan bantuan itu.

Mengulangi pendirian Ankara mengenai penubuhan negara Palestin, Fidan berkata Palestin adalah milik rakyat Palestin.

“Sebarang usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka adalah terbatal dan tidak sah serta pasti akan gagal.

“Kami akan mempertahankan undang-undang antarabangsa dan nilai-nilai kemanusiaan dengan sekuat-kuatnya terhadap dasar pembunuhan beramai-ramai Israel,” tambahnya.

Israel berdepan kecaman yang semakin hebat berhubung pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang mengorbankan lebih 61,000 orang sejak Oktober 2023.

Nnn

Related posts

Leave a Comment