Isu logistik, dana punca 43 jemaah kandas

SEPANG 27 Julai – Persada Global Holidays Sdn Bhd mengesahkan berlaku kelewatan penerbangan pulang membabitkan sebahagian jemaah umrah yang dikendalikan syarikat berkenaan dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Menerusi satu kenyataan, Pengarah Urusannya, Shahir Ibrahim berkata, insiden berlaku berikutan beberapa isu logistik dan teknikal yang tidak dijangka termasuk kekangan dana operasi serta cabaran dalam mengesahkan tiket penerbangan pulang dalam tempoh yang ditetapkan.

“Syarikat tidak melarikan diri atau mengabaikan tanggungjawab. Semua tindakan sedang diambil secara menyeluruh dan berfasa,” katanya yang turut menyatakan jemaah dalam keadaan selamat di bawah jagaan petugas di Jeddah.

Menurut Shahir, pihak syarikat sedang mengatur pembelian tiket pulang secara berperingkat untuk memastikan semua jemaah kembali ke tanah air secepat mungkin.

“Kami juga mengusahakan penyelesaian segera termasuk memohon kerjasama daripada jemaah yang berkemampuan untuk memberikan pinjaman sementara bagi pembelian tiket, dengan komitmen bayaran balik dalam tempoh 90 hari.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan tekanan emosi yang ditanggung jemaah dan keluarga. Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dan berjanji menyelesaikan isu ini secara telus, adil dan bertanggungjawab,” katanya.

.

Menurut Shahir, syarikat tersebut juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan menyerahkan laporan penuh kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu mutawif yang mengendalikan kumpulan jemaah berkenaan, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi berkata, empat daripada jemaah dijangka pulang selepas membeli tiket menggunakan biaya sendiri.  

“Hari kedua terkandas di Jeddah. Bersama saya ada 42 jemaah termasuk saya 43, dan Insya-Allah ada empat jemaah yang membeli tiket sendiri. Jadi tinggal 39 orang,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram.

Bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim 2015, PU Abu Sufiyan berkata, beberapa pihak sudah menghubunginya untuk menawarkan bantuan dan amat berharap urusan kepulangan jemaah di bawah kendaliannya dipercepatkan memandangkan ada antara mereka yang hamil, berusia serta mempunyai masalah kesihatan. 

“Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah dan terima kasih banyak kepada beberapa individu menghubungi saya, berniat bantu saya dan para jemaah. 

“Ada pihak travel agensi lain juga hubungi, yang saya rasa bantuan itu memberi banyak keringanan kepada kami,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tujuan beliau menyebarkan video berkaitan jemaah terkandas itu bukan kerana populariti, atau untuk diangkat jadi penyelamat.

“Tapi sebab saya nak terbangkan jemaah balik. Doakan kami selamat dan doakan pihak yang nak membantu agar urusan mereka dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu pada Sabtu, PU Abu memuat naik video di media sosial bagi memaklumkan situasi 42 jemaah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Kumpulan terbabit sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu malam, namun setibanya di lapangan terbang, mereka dimaklumkan tiada tiket penerbangan disediakan oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan.

Disebabkan masalah tersebut, jemaah terpaksa menanggung sendiri kos tambahan termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan yang mencecah ribuan ringgit.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment