RAUB 27 Julai – UMNO mesti memperkukuh Kerajaan Perpaduan, bukan menjatuhkannya, demikian ingatan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menyertai perhimpunan anjuran pembangkang bukan satu tindakan yang baik.
Tegasnya, UMNO menolak sebarang perhimpunan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran ahlinya dalam perhimpunan itu di ibu negara semalam.
Ahmad Zahid, berkata ahli UMNO sepatutnya memberi tumpuan kepada memperkukuh Kerajaan Madani, bukan cuba untuk melemahkannya.
“Saya mahu lihat dahulu siapa yang hadir ke perhimpunan… saya dan pasukan akan soal mereka mengenai kehadiran itu. Apakah sebab mereka hadir ke perhimpunan itu?.
“Kepemimpinan UMNO mempunyai pendirian yang jelas dan tidak menyokong perhimpunan sebegitu, kerana parti kini adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Raub di Dewan Jubli Perak Raub, hari ini.
Ahmad Zahid menjawab soalan berhubung dakwaan bahawa terdapat ahli UMNO yang menyertai perhimpunan diketuai Pas yang diadakan di Dataran Merdeka semalam.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan, berkata parti akan menunggu laporan penuh berkenaan dakwaan itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Nnn
