GAZA – Selepas hampir seminggu usaha terbaru menamatkan konflik berdarah 21 bulan, rundingan gencatan senjata di Gaza buntu apabila Israel dan Hamas saling menuding jari atas kegagalan mencapai persetujuan.
Cadangan Israel untuk mengekalkan kehadiran tenteranya di Gaza dikatakan menjadi penghalang utama terhadap perjanjian gencatan selama 60 hari.
Bagaimanapun di pihak Israel, seorang pegawai kanan politik yang enggan dikenali, menuduh Hamas bersikap tegar dan sengaja menggagalkan usaha mencapai persetujuan.
Sementara itu, di Tel Aviv, ribuan rakyat turun ke jalanan menuntut kerajaan memeterai perjanjian pembebasan tebusan.
Kedua-dua pihak, Israel dan Hamas, menyatakan bahawa 10 tebusan ditahan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang akan dibebaskan jika perjanjian dimuktamadkan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau bersedia menyertai rundingan ke arah penyelesaian kekal sekiranya gencatan senjata dapat dicapai.
Sumber Palestin pula memberitahu, keengganan Israel memenuhi tuntutan Hamas untuk pengunduran penuh tentera dari Gaza menjadi halangan utama.
Manakala sumber lain memaklumkan perantara meminta kedua-dua pihak menangguhkan rundingan sehingga ketibaan wakil khas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, iaitu Steve Witkoff, di Doha.
Difahamkan, Israel bercadang mengekalkan kehadiran ketenteraan di lebih 40 peratus kawasan Gaza, yang memaksa ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal berpindah ke kawasan kecil berhampiran Rafah, sempadan Mesir.
“Delegasi Hamas tidak akan menerima peta yang dikemukakan Israel kerana ia pada asasnya mengesahkan penjajahan semula hampir separuh Semenanjung Gaza dan memecah-belah wilayah itu tanpa laluan keluar atau kebebasan bergerak,” katanya.
Seorang lagi pegawai kanan Israel membalas bahawa Hamas yang menolak cadangan sedia ada dan menuduh kumpulan itu mewujudkan halangan serta enggan bertolak ansur demi menggagalkan rundingan.
Bagaimanapun sumber lain Palestin berkata, terdapat sedikit kemajuan dalam rundingan terkini berkaitan pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Nnnnn
