RAFAH – Sekurang-kurangnya 110 rakyat Palestin terbunuh termasuk 34 individu yang dipercayai sedang beratur untuk menerima bantuan kemanusiaan.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, serangan udara dan tembakan artileri menyasarkan beberapa kawasan padat penduduk, termasuk tapak edaran bantuan makanan yang dikendalikan oleh sukarelawan tempatan dan antarabangsa.
Ramai yang terbunuh ketika sedang menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan asas seperti makanan, air, dan ubat-ubatan.
Paramedik tempatan, Hassan Omran, memberitahu, mereka menerima lebih daripada 150 orang yang cedera, dengan kebanyakannya mengalami luka tembakan di kepala dan badan.
Beliau menyifatkan keadaan sebagai ‘antara yang paling tragik’ sepanjang krisis perang di Gaza.
Saksi mendakwa mereka ditembak oleh penembak tepat ketika cuba menghampiri hab bantuan milik Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang dibiayai oleh AS dan Israel.
Setakat ini, 798 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh dalam tempoh enam minggu lalu ketika menunggu bantuan diedarkan GHF, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
GHF menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari AS untuk menyalurkan bantuan, memintas sistem yang diketuai PBB.
Berikutan rentetan kematian awam di kawasan operasi GHF, PBB menyifatkan model bantuan itu sebagai ‘tidak selamat secara asas’ dan melanggar prinsip ketelusan serta kemanusiaan.
Sementara itu, sekurang -kurangnya 67 kanak-kanak maut akibat kebuluran di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, ketika sekatan menyeluruh Israel ke atas wilayah itu memasuki hari ke-103 berturut-turut.
Menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan di Gaza semalam, jumlah kematian berkemungkinan meningkat dengan mendadak.
Ini berikutan lebih 650,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun kini menghadapi kekurangan zat makanan yang teruk dan mengancam nyawa dalam minggu-minggu akan datang berikutan sekatan berterusan terhadap bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
“Kebuluran kini meragut nyawa yang tidak terkorban akibat pengeboman,” menurut kenyataan itu, yang menyifatkan sekatan berkenaan sebagai antara bentuk hukuman kolektif paling ekstrem dalam sejarah moden.
Pejabat itu turut memaklumkan bahawa “puluhan lagi kematian dicatatkan hanya dalam tempoh tiga hari lepas sahaja, ketika tentera Israel terus menyekat kemasukan tepung gandum, susu formula bayi serta bekalan makanan dan perubatan penting.”
Nnn
