PN minta penjelasan kadar tarif AS

SEPANG 8 Julai – Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan segera dan terperinci berhubung kadar baharu tarif sebanyak 25 peratus yang akan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.

Ketua Penerangan PN, Dt Radzi Jidin berkata, kadar yang diumumkan Presiden AS Donald Trump itu merupakan peningkatan sebanyak 1 peratus berbanding kadar asal yang diumumkan pada 2 April 2025.

Katanya, jika dibandingkan kadar tarif yang telah diumumkan untuk negara-negara ASEAN yang lain, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang dikenakan kadar tarif lebih tinggi daripada kadar asal.

Sebagai perbandingan, beliau memberitahu,kadar baharu tarif untuk Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar masing-masing telah dikurangkan sebanyak 26%, 13%, 8% dan 4% daripada kadar asal yang diumumkan sebelum ini.

“Perkara ini menimbulkan banyak tanda tanya ketika para pemimpin Kerajaan sebelum ini memberi gambaran seolah-olah rundingan berjalan dengan amat baik dan positif, namun realitinya, tidak mencerminkan gambaran yang diberi kerajaan.

Rakyat berhak mendapatkan penjelasan segera dan terperinci daripada Perdana Menteri serta Menteri Pelaburan, Perdangangan dan Industri (MITI) berhubung isu kritikal ini,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu.

Beliau mempersoalkan apakah kadar tarif sebanyak 25 peratus ditetapkan selepas Kerajaan Malaysia bersetuju melonggarkan dasar-dasar negara sebagai konsesi rundingan dengan AS dan jika ya, apakah dasar-dasar yang telah dilonggarkan.

“Adakah Kerajaan akan meneruskan rundingan sehingga tarikh 1 Ogos 2025, sebelum kadar tarif baharu ini mula dilaksanakan? Jika ya, adakah Kerajaan akan melonggarkan lagi dasar-dasar negara yang sedia ada dalam rundingan susulan? Apakah dasar-dasar yang bakal dijadikan konsesi rundingan tersebut?

Apakah bentuk bantuan strategik dan insentif yang akan disediakan oleh kerajaan untuk menyokong sektor-sektor ekonomi yang terkesan, terutamanya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta peniaga yang menjalankan aktiviti eksport secara langsung ke pasaran Amerika Syarikat?,” tanya Dr Radzi.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berselindung sebaliknya penjelasan yang telus dan menyeluruh amat penting mengambil kira implikasi tarif timbal balik ini kepada ekonomi negara, kehidupan rakyat, serta masa depan perdagangan antarabangsa Malaysia.

“Lebih malang jika Kerajaan telahpun mengorbankan prinsip dan dasar negara sebagai konsesi rundingan, namun akhirnya kita tetap menerima kadar tarif yang lebih tinggi, ibarat, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”, katanya.

Beliau berkata, anggota Parlimen PN mahu membahaskan isu ini dan isu-isu rakyat yang lain di Parlimen dengan segera tetapi, sidang Parlimen yang asalnya dijadualkan pada 23 Jun ditangguhkan ke 21 Julai 2025.

Nnnj

Related posts

Leave a Comment