RIO DE JANEIRO – Pemimpin negara-negara BRICS yang bermesyuarat di Rio de Janeiro semalam menggesa pihak berkaitan supaya mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata segera dan tanpa syarat bagi menamatkan perang di Gaza yang berlarutan sejak 22 bulan lalu.
Selain itu, BRICS turut menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan semua wilayah Palestin yang diduduki.
Kenyataan blok berkenaan dikeluarkan ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dan Palestin disambung semula di Doha, dengan tekanan semakin meningkat supaya konflik yang tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 itu ditamatkan segera.
BRICS singkatan bagi Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan adalah blok yang turut dianggotai negara rakan termasuk Malaysia, Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Sidang kemuncak BRICS kali ini turut dihadiri Iran, seteru utama Israel, selain negara seperti Russia yang mempunyai hubungan rapat dengan negara terbabit.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Rumah Putih hari ini bagi membincangkan usaha menamatkan perang itu, dengan Trump sebelum ini menyatakan harapan supaya persetujuan gencatan senjata dapat dicapai dalam tempoh seminggu.
Sementara itu di WASHINGTON, Trump pada Ahad berkata perjanjian gencatan senjata di Gaza mungkin dicapai dengan kumpulan Palestin Hamas minggu ini.
“Saya percaya ada peluang yang baik untuk kita mencapai perjanjian dengan Hamas minggu ini yang membabitkan beberapa tawanan… Kita telah berjaya membebaskan ramai tawanan, tetapi berkaitan baki tawanan, sebahagian besar daripada mereka akan dibebaskan. Kami menjangkakan ia dapat diselesaikan minggu ini,” kata Trump kepada pemberita di Morristown, New Jersey.
Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuannya dengan Netanyahu di Rumah Putih pada Isnin.
Ditanya mengenai mesejnya kepada Netanyahu esok, Trump berkata: “Kami sedang bekerjasama dalam banyak perkara dengan Israel dan satu daripada perkara itu mungkin perjanjian secara kekal dengan Iran.”
Netanyahu berlepas dari Tel Aviv pada Ahad ke Washington DC untuk bertemu dengan Trump bagi mengadakan perbincangan mengenai isu serantau, termasuk gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan.
Dalam lawatan ketiganya ke AS dalam tempoh enam bulan, beliau juga dijadual bertemu dengan pegawai kanan pentadbiran AS dan ahli kanan Kongres daripada kedua-dua parti.
