20 negeri di AS saman Trump

LOS ANGELES – California, yang mengetuai gabungan 20 negeri memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berhubung kebocoran maklumat peribadi rakyat.

Negeri terbabit ialah Arizona, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Massachusetts, Maine, Maryland, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, Oregon, Rhode Island, Vermont dan Washington.

Saman setebal 59 muka surat itu difailkan di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Utara California.

Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Robert F Kennedy Jr, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem dan jabatan mereka dinamakan sebagai defendan.

Pentadbiran Trump didakwa secara haram berkongsi data kesihatan penerima

Medicaid dengan agensi penguatkuasaan imigresen.

Peguam Negara California Rob Bonta, mengetuai peguam negara dari 19 negeri lain dalam memfailkan tindakan undang-undang itu.

Plaintif mencabar tindakan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan AS (HHS) yang memberikan ‘akses tanpa had’ rekod kesihatan individu kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang menaungi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).

Plaintif mendakwa keputusan itu melanggar undang-undang kerahsiaan peribadi dan amalan lama yang memisahkan maklumat Medicaid daripada pihak penguatkuasaan.

Mereka menegaskan yang tindakan haram pentadbiran Trump mencetuskan ketakutan dan kekeliruan dalam kalangan komuniti, yang boleh menyebabkan bukan warganegara dan ahli keluarga mereka menarik diri atau enggan mendaftar untuk Medicaid kecemasan.

Keadaan ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan kesihatan penting dan membawa kepada akibat kesihatan yang boleh membawa maut.

“Pentadbiran Trump mencabuli perlindungan kerahsiaan peribadi yang telah lama wujud dengan keputusan untuk secara haram berkongsi data kesihatan peribadi yang sensitif dengan ICE.

Tindakan ini mewujudkan suasana ketakutan yang akan menghalang orang ramai daripada mendapatkan rawatan perubatan kecemasan yang penting,” kata Bonta dalam kenyataan media yang dikeluarkan..

Beliau turut menegaskan bahawa saman itu bertujuan memastikan data Medicaid tidak digunakan untuk tujuan penguatkuasaan imigresen.

Menurut Jabatan Kehakiman California, Medicaid adalah sumber insurans kesihatan penting untuk individu berpendapatan rendah dan golongan kurang mendapat layanan perkhidmatan.

Sehingga Januari 2025, seramai 78.4 juta orang mendaftar dalam program Medicaid dan Program Insurans Kesihatan Kanak-Kanak di seluruh AS.

Related posts

Leave a Comment