Israel ikrar hapuskan Hamas

BAITULMUQADDIS 3 Julai – Israel kekal berikrar mahu menghapuskan kumpulan pejuang Hamas walaupun Amerika Syarikat (AS) mengemukakan cadangan gencatan senjata baharu selama 60 hari di Gaza.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan, peluang menghapuskan Hamas itu merangkumi usaha menewaskan ‘musuh dan menjamin masa depan daripada segi ekonomi, kenegaraan, antarabangsa dan tenaga’.

“Tiada lagi Hamas atau Hamastan. Kita tidak akan kembali kepada keadaan lama itu. Ia sudah berakhir. Kita akan membebaskan semua tebusan kita.

Betulkah? Bagaimana saya mampu kata begitu? Ini adalah dua matlamat bercanggah!’ Tidak masuk akal. Namun, ia boleh dilaksanakan secara serentak,” katanya dalam ucapan ketika pertemuan anjuran Trans-Israel.

Istilah Hamastan umumnya merujuk pada pemerintahan Hamas di Semenanjung Gaza, yang mana penggunaannya muncul sekitar masa penarikan diri Israel dari wilayah itu pada 2005.

“Kita akan hapuskan mereka hingga ke akar umbi. Peluang ini sangat besar dan tidak akan dibazirkan. Kita tak akan gagal, tunduk atau sia-siakan,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus melonjak tekanan awam terhadap Netanyahu bagi mencapai perjanjian gencatan senjata kekal dan menamatkan perang yang sudah berlarutan hampir dua tahun.

Malah, Hamas yang disokong Tehran juga meraih tekanan susulan serangan udara AS dan Tel Aviv ke atas tapak nuklear di Iran serta gencatan senjata dipersetujui dalam perang Israel-Iran selama 12 hari, pada Jun lalu.

Pemimpin Israel percaya menerusi kelemahan Iran, negara lain di rantau berkenaan berpeluang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Kelmarin, Trump berkata, Israel bersetuju dengan syarat yang diperlukan bagi memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari bersama Hamas, selepas pertemuan antara wakil AS dan pegawai Israel.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment