MKT boleh pertimbang rayuan ahli

KUALA LUMPUR 30 Jun – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat MKT parti itu, malam ini.

Baru-baru ini, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan supaya penggantungan keahlian bekas Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ditarik balik selaras matlamat memperkukuh parti.

Sehubungan itu, Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, MKT akan menunggu usul berkenaan dibawa Menteri Besar Johor,  Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam Biro Politik parti.

Ahmad Zahid turut menyerahkan kepada MKT untuk memutuskan usul mengembalikan keahlian Hishammuddin yang digantung selama enam tahun, sejak Januari 2023.

Bagaimanapun, Hishammuddin sendiri masih belum mengemukakan sebarang rayuan atau permohonan maaf berhubung penggantungan itu.

Sementara itu mesyuarat juga menegaskan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidak-harmonian dalam Kerajaan.

Difahamkan keputusan itu merujuk hasrat bekas ahli MKT UMNO Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Tengku Zafrul meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga memberitahu, tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 ditunda kepada 26 hingga 29 November 2025, selepas MKT mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.

“UMNO juga akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuklah pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” katanya.

Mesyuarat juga merakamkan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak kerana membantu segala pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar UPSI.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment