KUALA LUMPUR – Nahas di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding awal pagi Isnin, 9 Jun 2025 adalah antara kemalangan maut yang meragut nyawa tertinggi di negara ini, sejak Julai 1996.
Kejadian hari ini membabitkan bas membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia antara 21 hingga 23 tahun.
Kemalangan pada pukul 1 pagi itu berlaku ketika bas dari Jerteh, Terengganu menghala ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak melanggar belakang kereta Perodua Alza di depannya, menyebabkan 15 pelajar maut.
Daripada jumlah itu, 13 pelajar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi di Hospital Gerik serta tujuh pelajar parah.
Berikut kronologi kes kemalangan menyebabkan jumlah korban yang ramai dalam tempoh hampir 30 tahun:
9 Jun 2025 – 15 pelajar UPSI maut dan tujuh parah apabila bas dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak.
4 Februari 2019: Satu maut, empat cedera apabila bas kilang terbabas berhampiran Kompleks Penjara Jawi, Pulau Pinang.
24 Oktober 2017: Lapan pekerja kilang maut apabila dua bas dan sebuah van membawa 30 penumpang bertembung di KM147 Lebuh Raya PLUS berdekatan Tol Juru, Pulau Pinang,
24 Disember 2016: 14 maut, 16 cedera apabila bas ekspres terjunam dalam cerun sedalam 6.1 meter di KM137 Lebuh Raya PLUS, berdekatan Kampong Jayo, Muar, Johor.
21 Ogos 2013: 37 termasuk pemandu bas maut, 16 cedera apabila bas membawa 52 penumpang terbabas dan terhumban dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur
10 Oktober 2010: 12 maut, lebih 40 cedera dalam kemalangan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di KM223 Lebuh Raya PLUS berhampiran plaza tol Simpang Ampat di Alor Gajah, Melaka.
29 Oktober 2010: 7 maut, 20 cedera apabila bas pelancongan terbabas dan terbalik di KM3.8 Genting Sempah ketika menuruni Genting Highlands.
26 Disember 2009: 10 penumpang maut, dua cedera termasuk seorang parah apabila bas dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuh Raya PLUS arah utara, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan di Ipoh, Perak.
13 April 2009: Enam maut apabila bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM443 di Lebuh Raya PLUS dekat Rawang, Selangor.
13 Ogos 2007: 20 penumpang maut, sembilan parah selepas bas ekspres dinaiki terbabas dan terbalik di KM229 Lebuh Raya PLUS, dekat Bukit Gantang, Perak.
30 Julai 2006: 11 maut, 35 cedera, termasuk sembilan parah apabila bas persiaran dinaiki terbalik di KM160.8 Lebuh Raya PLUS di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
23 November 2003: 14 maut, 30 cedera apabila dua bas bertembung di KM68, Jalan Lipis-Merapoh, berdekatan sempadan Pahang-Kelantan.
Julai 1996: 17 mangsa termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas dinaiki terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands, Pahang.
