GRIK 9 Jun – Lima belas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang mereka naiki dari Jertih ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada Hospital Gerik pada pukul 1.10 pagi tadi.
Tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza terbabas ke dalam parit.
PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terbabit, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata bas dan kereta jenis Perodua Alza itu dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik.
Beliau turut memberitahu, ketika di lokasi terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada yang masih berada di dalam bas.
“Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas, untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidraulik,” katanya.
Sayani berkata, selepas ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas.
Sayani berkata, tindakan penyelamatan seterusnya dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Nnn