36 lagi jadi korban Israel di Gaza

BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya 36 penduduk Palestin terbunuh semalam, termasuk enam yang ditembak berhampiran pusat agihan bantuan dikendalikan Dana Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan media, tentera Israel melepaskan tembakan amaran ke arah individu yang didakwa “bergerak dalam cara yang mengancam keselamatan anggota tentera”.

Kematian terbaharu itu dilaporkan ketika operasi agihan disambung semula selepas digantung sementara susulan insiden kematian serupa awal minggu ini.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza Mahmud Bassal, memaklumkan bahawa sekitar pukul 7 pagi, enam individu maut manakala beberapa yang lain cedera akibat tembakan tentera pendudukan Israel berhampiran Bulatan Al-Alam.

GHF dalam kenyataan berkata, tiada agihan bantuan dibuat semalam kerana “ancaman langsung” daripada Hamas dan memaklumkan akan menyesuaikan operasi bagi “mengatasi ancaman berkenaan” .

Semalam, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan angka korban keseluruhan akibat perang mencecah 54,772 orang, majoritinya orang awam.

Related posts

Leave a Comment