Hubungan Trump – Elon Musk berakhir

NEW JERSEY – Hubungan dengan Elon Musk sudah berakhir, dan Donald Trump  tiada niat untuk bercakap dengan individu terkaya di dunia itu sebaliknya Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi akan mengambil ‘tindakan tegas’.

Trump memberi amaran akan bertindak terhadap bilionair yang juga penyumbang dana kempennya itu sekiranya Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu membiayai calon Demokrat yang bertanding menentang parti Republikan.

Dalam satu temu bual telefon bersama NBC News, Presiden AS itu enggan menjelaskan tindakan yang dimaksudkan serta memaklumkan bahawa tiada sebarang perbincangan dibuat setakat ini mengenai siasatan ke atas Musk.

Ditanya sama ada beliau menganggap hubungannya dengan Musk sudah berakhir, Trump berkata “Saya rasa begitu, ya.”

Trump pada masa sama berkata beliau belum mempertimbangkan untuk menamatkan kontrak kerajaan AS dengan syarikat internet satelit Starlink atau pelancar roket SpaceX milik Musk.

Hubungan kedua-dua tokoh itu tegang sejak minggu lalu apabila Musk secara tegas mengkritik rang undang-undang yang dibawa Trump dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang menjijikkan

Penentangan Musk menyukarkan proses meluluskan rang undang-undang berkenaan di Kongres yang kini menyaksikan Republikan hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Perwakilan dan Senat.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan margin kecil di Dewan Perwakilan bulan lalu dan kini dibahaskan di Senat, di mana sebahagian Republikan masih menimbang untuk melakukan pindaan.

Penganalisis bebas menjangkakan langkah itu akan menambah AS$2.4 trilion (RM11.28 trillion) kepada hutang negara yang kini mencecah AS$36.2 trilion (RM170.14 trillion) dalam tempoh sedekad akan datang.

Musk turut menyeru supaya menubuhkan parti politik baharu di AS untuk mewakili 80 peratus rakyat yang berada di tengah-tengah.

Related posts

Leave a Comment