Kes varian Delta meningkat di AS

WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 melibatkan varian Delta.

Sebelum ini dalam jangka masa dua minggu berakhir 22 Mei kes varian Delta hanya 2.8 peratus, meningkat kepada 9.5 peratus dalam tempoh dua minggu berakhir 5 Jun.

Untuk tempoh dua minggu sehingga 19 Jun kes jangkitan diramal meningkat kepada 20.6 peratus dan dijangka lebih tinggi di beberapa wilayah.

Varian itu pertama kali muncul di India dan pantas merebak ke seluruh dunia. Dilaporkan 77 negara dunia telah terjejas dengan varian itu termasuk di United Kingdom (UK).

Pada 15 Jun, CDC mengkategorikan varian Delta sebagai Varian Yang Membimbangkan (VOC) kerana lebih mudah menular dan memberi kesan lebih serius. Sehingga kini enam varian dikategorikan sebagai VOC di AS.

Sebelum ini Pengarah Institut Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci, menjangkakan varian Delta akan menjadi dominan di negara itu dalam beberapa minggu akan datang.

Jelasnya, ketika ini, 20 peratus daripada kes baharu dikesan disebabkan varian yang menular dengan lebih pantas.

Beliau berkata, mereka yang belum mendapat vaksin lebih terdedah kepada virus yang begitu cepat merebak berbanding varian lain.

Justeru, beliau menyeru orang ramai terutama golongan muda mendapatkan vaksin untuk melindungi diri dan orang lain.

Related posts

Leave a Comment