KLUANG – Isu pensijilan halal yang mencetuskan perang mulut antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dianggap tamat, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, beliau sendiri yang meredakan ketegangan antara kedua pihak.
“Dah… dah ‘tone down’… saya telah berjumpa dengan Dr Akmal sendiri pada 14 September lalu.. dan saya juga telah memberitahu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengenai perkara itu.
Bahkan, malam tadi saya telah keluarkan kenyataan rasmi keputusan Kabinet bahawa tidak ada kewajipan mana-mana restoran untuk memohon sijil halal tetapi dasar lama kekal.
“Jadi isu (sijil halal) itu telah tutup,” katanya ketika ditemui media di Kem Mahkota, di sini hari ini.
Semalam, Kabinet bersetuju mengekalkan dasar sedia ada iaitu permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela sejak 1974.
Ahmad Zahid berkata, pengekalan dasar sedia ada ini bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
Katanya, melalui sijil diperoleh itu, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.
“Justeru, Jakim menggesa pemain industri untuk memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal.
Ahmad Zahid l berkata, bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan di semua peringkat turut ditawarkan pelbagai insentif dan inisiatif dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran dalam memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal.
“Jakim turut memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia bagi mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.
“Statistik menunjukkan antara Januari hingga Julai lalu, sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh ditetapkan. Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM.
“Jakim, MAIN dan JAIN sentiasa komited untuk terus memperkemas dasar sedia ada demi menambah baik pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi memastikan pensijilan halal Malaysia terus diyakini dan kekal sebagai rujukan dunia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Jakim sentiasa berusaha mempertingkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan serta kebaikan sijil halal Malaysia dalam industri makanan dan perniagaan.
“Dalam pada masa sama, Jakim, MAIN serta JAIN akan bertindak tegas kepada individu atau mana-mana pihak yang cuba memalsukan SPHM demi memastikan kualiti dan standard pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited terus memperkukuh pengurusan pensijilan halal Malaysia demi kepentingan dan kebaikan untuk negara,” katanya.
