KUALA LUMPUR 22 Jun – Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu dilantik, Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli mahupun memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memandang serius kesalahan laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar Sinar Harian yang mengaitkan Mohd Khalid sebagai ahli kepada parti politik.
Setiausaha PDRM, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Abdulla berkata, laporan berkenaan adalah tidak benar, mengeliru dan mencetuskan persepsi yang salah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“PDRM juga menegur keras kecuaian media berkenaan dalam menerbitkan maklumat yang tidak disemak secara teliti dan telah mencalarkan reputasi pasukan serta individu.
“Etika kewartawanan seharusnya menuntut setiap laporan yang dikeluarkan perlu mendapat pengesahan fakta, proses semakan silang dan memiliki integriti dalam penulisan.
Pasukan ini berdiri atas asas neutraliti, integriti dan profesionalisme. Justeru, PDRM tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pasukan ini,” tegas beliau.
Semalam, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh menegaskan, Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli parti itu, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti tersebut.
“PKR kesal atas kesilapan maklumat profil Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dalam media sosial itu yang memaparkan beliau pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR serta pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah,” katanya.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pula menyifatkan kesalahan penerbitan infografik yang mengaitkan Mohd Khalid dengan parti politik sebagai fitnah yang sangat buruk.
Menteri Komunikasi, itu mengakui beliau terkejut dengan penerbitan berhubung perkara berkenaan.
“Saya memang agak terkejut dengan penerbitan satu grafik yang tidak betul, sangat tidak betul. Saya tidak pernah lihat Datuk Seri Khalid dalam mana-mana acara, mesyuarat, konvensyen atau kongres parti.
Jadi, itu satu fitnah yang bagi saya sangat buruk,” katanya selepas Karnival Kita Madani 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park@Pantai Dalam, Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sinar Harian dalam satu kenyataan media mengakui berlaku kesilapan dalam penyiaran infografik melibatkan KPN yang mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai baru-baru ini.
“Pihak kami mengakui berlaku kesilapan dalam penyiaran infografik tersebut dan sekali lagi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia dan seluruh masyarakat atas kekhilafan ini,” kata kenyataan itu.
Hasil semakan awal mendapati kesilapan tersebut berpunca daripada tindakan seorang staf di Unit Media Sosial yang menggunakan template reka bentuk lama yang pernah digunakan dalam poster melibatkan Tan Sri Johari Abdul sebelum ini.
Sebagai langkah tanggungjawab, Sinar Harian telah membuat laporan polis bagi memaklumkan insiden ini dan memberikan ruang kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut sekiranya perlu.
Sinar Harian juga sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur sabotaj dan dalam tempoh ini, staf serta penyelia Unit Media Sosial yang meluluskan infografik berkenaan akan digantung tugas.
“Sinar Harian memandang serius perkara ini dan akan terus mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan kawalan kualiti dan prosedur editorial diperkemaskan, demi menjamin ketepatan dan kredibiliti maklumat yang disampaikan kepada masyarakat,” tegas kenyataan itu.