Kes keseluruhan Covid-19 kini 5,016,023

PUTRAJAYA 17 Dis. – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 semalam, Jumaat turun sedikit kepada 1,138 kes termasuk dua kes import berbanding 1,161 yang dilaporkan pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun menurut portal KKMNOW,  kes kematian kembali meningkat kepada lapan berbanding tiga kes yang dilaporkan pada Khamis.

Dengan perkembangan jumlah keseluruhan kes kini mencecah 5,016,023 iaitu 4,977,536 kes tempatan dan 38,487 kes import.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 36,795 termasuk 7,841 kes kematian berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID). Semalam tiga kes BID dilaporkan.

Sementara itu, 16,521 kes aktif direkodkan pada Jumaat dan daripada jumlah itu, 15,413 kes atau 93.3 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 1,052 pesakit mendapat rawatan di hospital, di mana 56 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), iaitu 37 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh yang direkodkan semalam adalah 1,420 orang menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,962,707 pesakit sembuh.

Related posts

Leave a Comment