SEPANG 8 Ogos – Lima wakil rakyat daripada PKR mengakui kecewa apabila parti itu menyekat Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail daripada akses portal peruntukan khas (MyKHAS).
Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka menyifatkan tindakan itu sebagai salah guna kuasa serius, sekali gus menafikan hak Rodziah untuk menguruskan peruntukan Parlimen Ampang.
Kumpulan Ahli Parlimen itu turut memberi peringatan tegas mengenai peruntukan kawasan melalui MyKHAS bukanlah hadiah daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kepada wakil rakyat.
Tindakan itu, katanya, turut mengakibatkan garis sempadan antara parti dan kerajaan serta demokrasi dan autokrasi semakin kabur.
Lebih serius apabila akses MyKHAS wakil rakyat yang dipilih disekat, tetapi pengurusan peruntukan kawasan diserahkan kepada individu atau ‘proxy’ disenangi Anwar.
Sejak bila seorang ‘proxy’ yang tidak dipilih rakyat mempunyai mandat lebih besar daripada seorang Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya?.
Wakil rakyat yang dipilih diketepikan, manakala wang rakyat pula diserahkan untuk diuruskan ‘proxy’ politik mengikut cita rasa beliau.
“Kami ingin mengingatkan Anwar mengenai perkara sangat asas, Malaysia bukan milik beliau. Kerajaan bukan rumah beliau. Peruntukan awam bukan wang poket parti mahupun Perdana Menteri,” katanya.
Lima wakil rakyat itu ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Rodziah; S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).
Kelmarin, Rodziah dilaporkan mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi dibenarkan mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Sebelum ini, Chean Chung dan Wong Chen yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, turut dilaporkan menerima nasib sama.
Kumpulan wakil rakyat itu turut mengingatkan Anwar, pentadbiran negara tidak boleh mengguna pakai model pengurusan keluarga, sebaliknya secara demokrasi berparlimen.
“Dalam sebuah keluarga, mungkin seorang ketua keluarga boleh memarahi anak yang tidak disukainya lalu menghalau anak itu keluar dari rumah. Tetapi negara demokrasi tidak boleh ditadbir mengikut konsep ‘siapa saya suka, saya beri; siapa saya tidak suka, saya sekat’.
“Rakyat memilih Ahli Parlimen melalui peti undi dan mandat wajib dihormati. Kalau Anwar tidak menyukai seseorang Ahli Parlimen, itu hak beliau. Namun, beliau tidak berhak menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan.
“Jika Ahli Parlimen buat kesalahan, siasat. Sekiranya mereka melanggar undang-undang, ambil tindakan mengikut lunas perundangan.
“Jika ahli parti langgar tatacara parti, bawa ke Lembaga Disiplin dan ambil tindakan mengikut peraturan parti. Tetapi jangan sesekali menggunakan peruntukan rakyat sebagai senjata politik,” kata mereka.
Mereka juga menuntut Perdana Menteri menjawab secara terbuka tiga perkara:
Pertama: Apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau dasar digunakan untuk menyekat akses MyKHAS kepada tiga Ahli Parlimen terbabit.
Kedua: Apakah asas pelantikan Penyelaras Parlimen Ampang iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sedangkan Ahli Parlimen kerajaan di kawasan tersebut masih menjalankan tugas dan berfungsi?
Ketiga: Mengapakah Setiausaha Politik dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang?. Adakah tugas tersebut termasuk dalam skop tugas hakiki beliau dan adakah beliau mempunyai kapasiti, masa serta tenaga untuk memikul tanggungjawab tambahan itu?
“Anwar sendiri sudah menghabiskan puluhan tahun memperjuangkan reformasi, keadilan, ketelusan dan menentang penyalahgunaan kuasa. Hari ini, prinsip sama mesti terpakai kepada kerajaan beliau pimpin.
“Reformasi tidak bermaksud mempolitikkan peruntukan rakyat dan menggantikan wakil dipilih rakyat dengan ‘proxy’ pilihan sendiri.
“Demokrasi juga bukan sekadar meminta rakyat keluar mengundi setiap lima tahun, kemudian mengetepikan pilihan mereka apabila wakil dipilih tidak lagi disenangi pemerintah,” kata mereka.
Nnn
