POLIS Diraja Malaysia (PDRM) diasak hebat oleh pembangkang dan media alternatif propembangkang mengenai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai 2011. Pelbagai tuduhan dilemparkan keatas pasukan keselamatan yang bertanggungjawab menjaga keamanan majoriti rakyat negara ini yang meluat dengan demonstrasi jalanan. Selepas dua minggu dan sesudah ‘aksi besi’ (rujuk kenyataan Abdul Hadi Awang video sebagai besi) dipaparkan terutama mengenai lagak ayam sabung Pas, Mat Sabu, adakah persepsi buruk terhadap polis berkurangan? Adakah polis masih tertekan?
‘‘Tekanan darah IGP (Ketua Polis Negara) okey,’’ kata Pengurus Kanan Pengurusan Tenaga Manusia Pantai Holdings Berhad, Ridzuan Buasan di MITC, Ayer Keroh, Melaka kelmarin. Ketua Polis Negara, Ismail Omar melakukan ujian tekanan darah ketika singgah di booth Pantai Management Resources Sdn. Bhd. sempena Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) di MITC. Ismail, timbalannya, Khalid Abu Bakar serta pegawaipegawai kanan PDRM berkunjung ke karnival itu selepas dijemput oleh Penyelaras BN Youth Job Fair ’11, Nazir Hussin Akhtar Hussin. Mereka berada di MITC bagi menghadiri pelancaran Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2011 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin. Secara kebetulan, kedudukan dewan pelancaran dan karnival sebelah menyebelah.
Maka dua majlis di MITC pada Sabtu lalu menghimpunkan golongan muda supaya melibatkan diri dalam dua aktiviti sihat. Bulan pencegahan jenayah bertemakan Remaja bersatu memerangi jenayah sementara karnival kerjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada anakanak muda atau penganggur di wilayah selatan.
Golongan remaja perlu dididik untuk tidak terlibat dalam jenayah serta aktiviti yang boleh mendorong ke arah itu. Mereka mungkin bermula dengan demonstrasi haram tetapi akhirnya terlibat memusnahkan harta awam apabila keadaan tidak terkawal. Maka adalah lebih baik, mereka mencari kerjaya menguntungkan daripada menjadi ‘pelakon tambahan’ demonstrasi.
Muhyiddin sebelum meninggalkan pekarangan MITC, sempat memperkenalkan Nazir Hussin sebagai orang ‘kuat’ di sebalik BN Youth Job Fair ’11 dan sebagai tanda sokongan, Ismail serta pegawaipegawai kanan PDRM meluangkan masa meninjau karnival itu. Menurut Nazir Hussin, IGP amat menghargai usaha Pemuda BN menganjurkan karnival itu yang memberi peluang kepada anakanak muda mencari pekerjaan. Mungkin bagi IGP, acara seperti itu ada lebih baik daripada mengajak anakanak muda turun di jalanan mengadakan demonstrasi. Dan ketika merasmikan karnival itu pada sebelah petang, Ketua Menteri Melaka, Mohd. Ali Rustam turut memuji usaha Pemuda BN mencari peluang pekerjaan untuk dipilih oleh anakanak muda terutama yang tidak bekerja. BN Job Fair bukan setakat menawarkan pekerjaan kepada penganggur tetapi menurut Pengerusi Pemuda BN Malaysia, Khairy Jamaludin Abu Bakar, karnival itu turut memberi peluang kepada mereka yang sudah bekerja mencari pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik. Jelaslah karnival itu lebih memberi faedah jangka panjang. Seperti kata Mohd. Ali, karnival itu lebih baik daripada tawaran yang disediakan ‘pusat pekerjaan demonstrasi’ sebagai tukang demo jalanan dengan kadar upah mengikut jam.
Memang benar kata Mohd Ali. Demonstrasi jalanan turut mewujudkan peluang ‘kerjaya’ sebagai ‘pelakon’ dengan pelbagai watak. Diperkuatkan lagi apabila ada laporan mengatakan mereka ini dibayar untuk melakukan aksiaksi berkenaan. Seperti sebuah filem, ada yang melakonkan watak hero, heroin, penjahat, penipu, stuntman, pelawak, penari, penyanyi dan macammacam lagi. Mereka boleh melakukan apa juga aksi. Baru disergah sudah jatuh atau cedera tidak seberapa tetapi digambarkan dalam keadaan nazak. Apabila ‘besi’ dipertontonkan oleh PDRM barubaru ini, terdedahlah aksiaksi sebenar yang divideokan hasil lakonan watakwatak ini. Sebelum ini pun, di luar ‘pentas’ demonstrasi, beberapa orang sudah mendapat gelaran sebagai pelakon terbaik, pelawak atau penglipur lara yang boleh memikat ramai orang. Tetapi apakah wajar soal keselamatan dilakonkan sebegitu rupa demi mencapai citacita peribadi atau puak tertentu? Apakah mereka mampu menandingi namanama besar pemenang Oscar hasil ‘lakonan’ mereka itu? Ya, nama mereka akan disanjung oleh musuhmusuh yang tidak senang dengan kedudukan Malaysia di ranking ke19 bagi negara paling selamat di dunia berbanding 156 negara lain. Melalui demonstrasi atas nama demokrasi ini, mereka melakonkan pelbagai aksi yang lebih merupakan provokasi untuk mengundang tindakan tegas polis.
Apabila polis bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan semasa mereka dilatih sebagai anggota keselamatan, peserta-peserta demonstrasi ini akan sentiasa mencari peluang bagaimana tindakan polis itu boleh dipersalahkan. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menggambarkan tindakan polis sebagai kasar dan ganas.
Akhirnya walaupun tindakan polis mengikut prosedur tetapi mereka yang lembik, tidak sihat, tulang dah reput atau ibarat kuda tua yang tidak mempunyai daya tahan tetapi masih mahu menyertai demonstrasi itu terasa tempiasnya. Mungkin mereka inilah yang akan terjatuh, tersepak atau dipijak. Mana mungkin dalam jumlah yang ramai mengadakan provokasi dan bertindak liar, polis juga bertindak ‘lembik’ menyuraikan keadaan sehingga kenderaan polis pun ‘lari’. Mungkin polis mahu menyelamatkan kenderaan yang boleh dianggap sebagai ‘harta awam’ itu kerana tidak berbaloi rasanya, kenderaan polis dirosakkan hanya disebabkan demonstrasi seumpama itu. Kos yang dibelanjakan PDRM lebih tinggi berbanding kos penganjur. Kos makanan untuk mereka yang ditahan juga tinggi. Mungkin kalau diberi nasi bungkus berlaukkan sayur dan ikan kering, maka mereka akan merungut tidak dilayan dengan baik. Pelik, orang yang melanggar undangundang perlu ditatang baik dan tidak boleh dikasari.
Begitulah kisah demonstrasi haram anjuran Bersih yang disokong Trio 3P (Pas-PKR-DAP). Rakyat dapat menyaksikan apabila RTM dan TV3 menyiarkan ‘aksi besi’ yang hebat ini.
Kepada mereka yang terlibat dalam demonstrasi itu, bertindaklah secara profesional bukannya emosional. Jangan korbankan keselamatan negara hanya kerana ingin mencapai matlamat bagi kepentingan diri dan puak mereka. Hayatilah lima prinsip Rukun Negara Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan UndangUndang; Kesopanan dan Kesusilaan.
Adakah peserta demonstrasi haram 9 Julai menghormati prinsip-prinsip ini?
UMA250711011C001