KOTA KINABALU 29 Julai – Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, menghormati keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima minggu ke atasnya selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataannya mengenai inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan rayuan dan biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya.
“Namun begitu, amanah rakyat kepada saya tetap tidak berubah. Sejak dari awal, perkara ini bukan mengenai diri saya. Ia mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang telah menyentuh hati seluruh negara.
Harapan saya, sejak awal lagi, hanyalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.
“Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara Ahli Parlimen itu mengemukakan rayuan terhadap sabitan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Shafie melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga enam minggu atau denda maksimum RM300, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang serta Ahli Parlimen Semporna diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.
Tahun lalu, kenyataan Shafie dalam satu video yang tular di media sosial mencetuskan perhatian ramai.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di aras bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina sedang berlangsung bermula 3 September tahun lalu dan dijadualkan bersambung pada 24 Ogos ini.
