Kecederaan otak teruk, kritikal di HQE

KOTA KINABALU 3 Sept . – Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami kecederaan otak yang teruk dan dalam keadaan yang kritikal ketika dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada awal pagi 16 Julai lalu.

Sakai pertama inkues kematian Zara, Pakar Patologi Forensik di Jabatan Perubatan Forensik HQE, Dr Jessie Hiu, berkata keadaan arwah ketika tiba di HQE pada jam 4.38 pagi pada angka 3/15 (E1V1M1) Glasgow Coma Score

“Dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Satu amaran trauma kemudian diaktifkan pada jam 4.42 pagi. Dia dibuat penilaian dan diurus oleh pasukan pelbagai disiplin,” katanya ketika membacakan keterangan bertulisnya.

Beliau berkata, pemeriksaan klinikal, imbasan Tomografi Berkomputer (imbasan CT); Computed Tomography Angiography scan (CTA scan) dan radiograf kemudian dijalankan.

Pemeriksaan itu mendedahkan hematoma kulit kepala di bahagian atas, pendarahan intrakranial dengan pembengkakan otak, ensefalopati iskemik hipoksik, patah bahagian distal jejari kiri (tulang lengan bawah), subluksasi (dislokasi) sendi pergelangan tangan kiri, patah tulang tibia kiri dan luka di bahagian pergelangan kaki kiri.

Selain itu, katanya, pemeriksaan juga mendapati patah pertiga distal tibia kiri (patah tulang kaki kiri), subluksasi sendi buku lali (dislokasi), patah kominutif calcaneum kiri (patah tulang kaki kiri) dan patah vertebra lumbar kedua hingga keempat (tulang belakang bawah).

Mangsa juga dikesan mengalami hematoma otot Psoas kiri dan hematoma tisu pelvis ekstraperitoneal.

“Dia meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik yang teruk dengan ensefalopati iskemia hipoksik pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai 2025,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Dr Jessie, 58, yang berkhidmat di HQE sejak 1998 memiliki kelayakan ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1991 dan Ijazah Sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya pada 1998.

Beliau juga adalah ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Malaysian Society of Forensic Medicine and Science dan Indo-Pacific Association of Law, Medicine and Science.

Dr Jessie mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 pemeriksaan bedah siasat setahun, selain memberi keterangan sebagai pakar perubatan antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada prosiding itu, Pegawai Pengendali, Badiuszaman Ahmad turut meminta beberapa penjelasan mengenai keterangan bertulis Dr Jessie, termasuk berkaitan 172 keping gambar bedah siasat jenazah arwah Zara Qairina.

Related posts

Leave a Comment