Pandemik orang kurang upaya di Gaza

RAMALLAH – Gaza muncul sebagai ‘pandemik orang kurang upaya’ dengan bilangan kanak-kanak yang diamputasi per kapita tertinggi di dunia, kesan buruk yang ditimbulkan oleh perang yang berterusan terhadap penduduk.

Demikian menurut Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini.

“Sebelum perang, satu daripada lima keluarga yang ditinjau mempunyai sekurang-kurangnya seorang orang kurang upaya. Hampir separuh daripada mereka termasuk kanak-kanak kurang upaya.

“Semasa perang ini, orang yang memerlukan penjagaan khas telah menderita dalam diam. Kisah mereka jarang diceritakan. Perang juga telah menyebabkan wabak kecederaan traumatik tanpa perkhidmatan pemulihan tersedia,” katanya.

Lazzarini juga mendedahkan bahawa ramai mangsa termasuk kanak-kanak kehilangan anggota badan dan menjalani pembedahan tanpa bius akibat krisis perubatan yang teruk di Gaza.

Beliau memetik anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa satu daripada empat orang yang cedera semasa perang mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan, memerlukan pemulihan meluas.

Ini termasuk penjagaan untuk amputasi dan kecederaan saraf tunjang, perkhidmatan yang sebahagian besarnya masih tidak tersedia di Gaza. 

Related posts

Leave a Comment