SEREMBAN – Gerakan memecat keahlian Tang Jay Son berkuat kuasa serta-merta selepas bertanding atas tiket Bersatu pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini.
Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen, dalam kenyataan hari ini berkata tindakan Jay Son adalah pelanggaran disiplin parti yang serius kerana bertentangan dengan prinsip kesetiaan kepada parti.
Katanya, setiap ahli bertanggungjawab mematuhi perlembagaan parti, menghormati keputusan organisasi serta menjaga disiplin dan integriti parti pada setiap masa.
“Mana-mana ahli yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti akan dikenakan tindakan disiplin yang sewajarnya,” katanya.
Jay Son hari ini disahkan sebagai calon Bersatu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang yang menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penyandang Siau Meow Kong (Pakatan Harapan), Yap Siok Moy (Barisan Nasional) dan S Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).
Bersatu walaupun merupakan komponen Perikatan Nasional (PN) bertanding menggunakan simbol sendiri dan di beberapa kawasan akan bertembung dengan calon PN.
