Pas wakili PN hadapi PRK Sungai Bakap

KUALA LUMPUR 12 Jun – Calon Pas akan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan, kata Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penyandang yang meninggal dunia adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, dan PN mengekalkan kerusi itu untuk Pas.

“Kita akan umumkan calon pada 15 Jun. Selepas itu, calon akan diberikan watikah untuk bertanding di bawah Perikatan Nasional,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat gabungan politik itu di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata PN sudah menubuhkan jawatankuasa untuk pilihan raya di peringkat Pusat dan negeri, sambil menambah jentera gabungan itu sudah bersedia untuk bekerja demi kemenangan PN.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, parti komponen PN akan bekerjasama dengan bersungguh-sungguh untuk calon PN di Sungai Bakap.

“Pihak lain akan turun padang untuk membantu. Kami mempunyai presiden Gerakan dan Presiden MIPP di sini bersama saya dan sudah tentu juga akan berada di sana (di Sungai Bakap) sebagai jentera.

“Jadi kami akan turun padang untuk mendapatkan sokongan pengundi. Kami harap semua pengundi di Sungai Bakap akan terus menyokong calon Perikatan Nasional kami,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Related posts

Leave a Comment