Jemaah haji pakej Andalusia berpuas hati

SEPANG 26 Jun – Kebanyakan jemaah haji yang mengikuti pakej ditawarkan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan susulan pelbagai penambahbaikan sepanjang tempoh operasi haji, tahun ini.

Penolong Pengurus Bahagian Haji Andalusia, Khairul Sani Zamberi berkata, pihaknya menerima maklum balas positif berhubung perkhidmatan yang diberikan sama ada oleh Andalusia, Tabung Haji (TH) mahupun pihak muassasah.

Katanya, penambahbaikan yang dilakukan tahun ini memberi impak yang sangat positif kepada jemaah termasuk hampir 500 jemaah yang memilih pakej ditawarkan Andalusia sebagai salah satu Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik TH.

“Antara penambahbaikan itu seperti kemudahan tandas lebih selesa selain khemah dilengkapi ‘sofa bed’, sekali gus menyebabkan jemaah sangat berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan Andalusia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Terdahulu, seramai 118 jemaah haji termasuk petugas Andalusia tiba di KLIA menerusi penerbangan langsung Saudia Airlines dari Madinah. Ini kumpulan terakhir jemaah Andalusia tiba di tanah air selepas ketibaan 276 jemaah pada 6 Jun lalu.

Menurut Khairul Sani, secara keseluruhan, Andalusia berjaya menguruskan kesemua jemaah dengan lancar, yang membolehkan urusan ibadah haji dilaksanakan secara sempurna.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik termasuk isu kelewatan bas ketika pergerakan jemaah dari Muzdalifah ke Mina.

“Majoriti jemaah menunaikan haji buat kali pertama dan tidak mengetahui sepenuhnya bagaimana operasi haji dijalankan. Jadi, kita memberi penjelasan supaya mereka lebih memahami situasi sebenar di lapangan.

“Ada beberapa cabaran seperti kelewatan bas, namun perkara itu akan dijadikan penambahbaikan oleh Andalusia, Tabung Haji dan pihak muassasah bagi musim haji akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang jemaah, Meor Syazali Mohamed Sapawi, berpuas hati dengan PJH Andalusia yang memberi perkhidmatan kepada jemaah dengan beberapa kemudahan bagi melaksanakan ibadah dengan baik.

Katanya, Andalusia menyediakan petugas yang berpengalaman serta hotel penginapan yang dekat dengan lokasi ibadah semasa menunaikan haji.

Beliau yang berasal dari Johor berkata, pendedahan yang diberi sebelum jemaah berangkat menunaikan ibadah haji banyak membantu jemaah untuk memahami apa yang perlu dilakukan semasa berada di Tanah Suci.

Mengenai pengisian di Tanah Suci, beliau berkata, banyak program disusun termasuk ceramah dan ziarah.

Andalusia yang lebih 20 tahun berpengalaman menguruskan jemaah haji adalah antara 31 PJH yang sah bagi musim haji 1447/2026M, dengan menawarkan harga pakej serendah RM45,990 sehingga mencecah RM120,990.

Nnn

Related posts

Leave a Comment