Terkilan ruang pertahan diri dinafi

KUALA LUMPUR 24 Ogos – UMNO terkilan kerana proses dan ruang untuk bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempertahankan dirinya terutama usaha mengemukakan bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelaannya membuat persiapan dinafikan.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keluarga besar UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Najib semalam.

“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Ahmad Zahid, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak akan dapat memadamkan jasa besar Najib sebagai Perdana Menteri yang membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan negara di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ahmad Zahid menegaskan, UMNO akan terus bersama Najib dalam perbicaraan kes lain yang sedang dihadapi bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik.

“Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) terdahulu dalam pelantikan hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment