Kembalikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN

SEPANG 9 Jun – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin, menggesa Presidennya, Muhyiddin Yassin kembali menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Beliau berkata, PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi, sebaliknya pemimpin yang mampu menyatukan, menenangkan keadaan dan membina semula kekuatan gabungan, berpaksikan prinsip serta matlamat lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.

Katanya, landskap politik sudah berubah dan PN memerlukan semula  kepemimpinan yang mampu menarik sokongan rakyat lebih luas, bukan hanya penyokong tegar parti tetapi juga golongan Melayu moderat, pengundi atas pagar, anak muda profesional dan rakyat yang mahukan kestabilan.

“Sebab itulah ramai melihat sudah tiba masanya Muhyiddin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi (PN).

Sejak penubuhan PN, Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas. Beliau ialah titik temu yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.

“Dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan musyawarah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020 dan Februari lalu, Naib Presiden Pas,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Dr Afif, berkata kekuatan PN pada pilihan raya lalu, realitinya tidak datang daripada satu parti semata-mata, sebaliknya daripada gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada politik ‘patronage’ dan kegagalan kerajaan semasa.

Muhyiddin katanya, mempunyai kredibiliti untuk membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif, iaitu kuat sebagai teras negara tetapi pada masa sama, menjadi payung kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecahkan. Kepemimpinan yang membina jambatan, bukan tembok. PN juga memerlukan seorang pemimpin yang boleh melihat jauh ke hadapan, mengurus perbezaan dengan hikmah dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat.

“Atas sebab itu, saya percaya ramai penyokong PN akan bersetuju dengan satu seruan yang semakin kuat kedengaran, iaitu kembalikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, demi kestabilan, penyatuan dan masa depan perjuangan yang lebih besar,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment