Senarai calon BN Johor tular adalah palsu

JOHOR BAHRU 3 Jun – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan senarai calon Barisan Nasional (BN) yang sedang bertebaran sejak petang semalam di media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah palsu dan tidak benar.

Pengerusi BN Johor  Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau maklum dengan sebaran senarai itu dan menjelaskan sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN hanya akan dibuat melalui saluran rasmi parti.

“Dalam bahang pilihan raya ini, sudah pasti akan ada pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,”katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menyeru seluruh Bangsa Johor agar mengamalkan sikap tabayyun, menyemak fakta terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu berita.

“Marilah kita berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab. Jangan benarkan berita palsu memudaratkan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di negeri Johor yang kita cintai,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kesahihan maklumat menerusi petikan ayat 6 surah Al-Hujurat iaitu : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, dipetik berkata senarai calon yang dikemukakan kepadanya akan dimuktamadkan setelah beliau mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti komponen BN.

DUN Johor dibubarkan, baru-baru ini, bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, dengan BN bakal bertanding di kesemua 56 kerusi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment