PUTRAJAYA 1 Ogos – Tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan ucapan takziah dan kritikan atas pembunuhan pemimpin Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh, daripada platform media sosial syarikat konglomerat itu adalah biadab serta menghina perjuangan rakyat Palestin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tindakan berkenaan adalah tidak masuk akal apabila menganggap hantaran untuk menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah air sendiri daripada kezaliman, sebagai berbahaya.
“Meta sekali lagi bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.
“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan, dianggap berbahaya.
Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Semalam, Bahagian Media & Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO), mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar dalam Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatar, Mei lalu.
Dalam satu kenyataannya, bahagian terbabit memaklumkan bahawa tindakan Meta itu jelas memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara berkenaan.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan bersama kenyataan itu, Meta dilihat bertindak menurunkan perkongsian pertemuan berkenaan, semalam.
Haniyeh syahid dalam serangan udara ke atas kediamannya di Tehran, Iran, awal pagi semalam, ketika berada di negara itu untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharunya, Masoud Pezeshkian, kelmarin.
Pengawal Revolusi Iran menyatakan Haniyeh terkorban bersama seorang pengawalnya dalam serangan itu.
Nnn