ISTANBUL – Iran merangka mekanisme bagi mengawal trafik maritim melalui laluan khas di Selat Hormuz dan akan mengenakan bayaran “bagi perkhidmatan khusus” yang disediakan di bawah sistem itu.
Menerusi mekanisme itu, hanya kapal komersial dan pihak yang bekerjasama dengan Iran akan mendapat manfaat daripadanya.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran Ebrahim Azizi menerusi platform X memaklumkan Tehran akan mengumumkan pelan itu dalam masa terdekat.
“Laluan ini akan terus ditutup kepada pengendali projek yang dipanggil ‘Project Freedom’.”, katanya.
Pada 28 Februari lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Sejak 13 April, AS menguatkuasakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di selat itu.
Presiden AS Donald Trump turut mengumumkan “Project Freedom” pada awal bulan ini dengan berikrar mengiringi kapal melalui Selat Hormuz walaupun Iran menegaskan bahawa sebarang transit melalui laluan perairan strategik itu memerlukan kelulusan awal Tehran.
Bagaimanapun, Trump kemudiannya mengumumkan penangguhan inisiatif berkenaan.
Nnnn
