Jaga adab, hormati guru

IMBAS KEMBALI KHUTBAH JUMAAT 21 FEBRUARI 2020

KHUTBAH hari ini memperkatakan mengenai guru, Insan yang mendidik manusia menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Melalui khutbah bertajuk Guru dihormati , ilmu diberkati itu, khatib mengajak jemaah supaya menjaga adab semasa bersama guru. Kita perlu menghormati orang yang pernah mendidik kita. Daripada merekalah, kita belajar membaca, menulis dan mengira sehingga menjadi insan berguna.

Banyak kisah para ulama silam yang menghormati guru mereka boleh dijadikan pengajaran.Contohnya kisah bagaimana Imam Syafie menghormati dan menghargai seseorang yang pernah mengajarnya walaupun ilmu yang sedikit.

Pada suatu hari sedang beliau memberi kuliah, datang seorang Badwi yang comot dan busuk. Lantas beliau menghentikan kuliahnya untuk mendekati Badwi itu dan memeluknya dengan erat.

Selepas kuliah, muridnya bertanya mengapa beliau memeluk Badwi tersebut sedangkan dia comot dan busuk? Beliau memberitahu bahawa Badwi itu adalah gurunya dan kerana itu beliau memeluknya sebagai cara menghormati guru.

Selanjutnya Imam Syafie berkata: “Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku menghadapi satu masalah untuk mengenali dan membezakan antara anjing yang cukup umur dengan yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu Badwi itu tahu kerana Badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka. Aku pun bertanya kepada Badwi yang aku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila membuang air kecil, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya apabila membuang air kecil. Dengan penerangan Badwi itulah maka aku dapat menyiapkan kitabku ini.”

Walaupun hanya sedikit ilmu yang diperoleh daripada Badwi tersebut, namun penghormatan beliau kepadanya menggambarkan adab yang mulia yang dituntut dalam Islam. Dengan adab yang mulia terhadap guru, dapat kita lihat betapa berkatnya ilmu para ulama silam sehingga mereka menjadi orang yang disegani dan menjadi rujukan umat Islam sehingga ke hari ini.

Khatib menjelaskan, ada beberapa perkara yang boleh kita amalkan bagi menjaga adab dengan guru. Antaranya mengucapkan salam semasa bertemu dengan guru.
Membantu guru juga merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam. Sebagai murid, kita boleh membantu guru dalam banyak perkara. Daripada hal-hal di dalam sekolah sehinggalah kepada hal-hal yang berada di luar sekolah.

Semasa di sekolah guru-guru menjadi ibu dan bapa kita. Sebagaimana adab bersama dengan ibu bapa, begitulah juga adab kita bersama dengan guru.

Kini, ramai penuntut tidak lagi mementingkan adab kepada guru mereka. Guru hanya dianggap sebagai manusia biasa. Lebih parah, ada yang bermusuh dengan guru. Terdapat juga segelintir murid yang melawan, mencalarkan kereta, menumbuk, menghina, bersangka buruk, mengumpat dan mencaci maki guru.

Mengakhiri, khutbah, khatib mengajak supaya umat Islam menjaga adab dan budi pekerti mulia dalam kehidupan seharian.

Related posts

Leave a Comment