Thailand naikkan harga diesel, tarif elektrik

BANGKOK – Harga diesel di Thailand meningkat sebanyak 3.50 baht seliter bermula hari ini, Khamis (2 April) selepas Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak meluluskan pengurangan kadar subsidi diesel semalamm.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata, keputusan berkenaan didorong oleh ketidaktentuan berterusan harga minyak global yang kekal tinggi dengan trend meningkat.

“Dalam mesyuaratnya hari ini (1 April), jawatankuasa memutuskan untuk mengurangkan subsidi diesel di bawah Dana Bahan Api Minyak sebanyak 4.11 baht seliter, daripada 21.89 baht kepada 17.78 baht seliter, selaras dengan keadaan pasaran dan bagi mengekalkan kecairan dana,” katanya.

Susulan keputusan itu, harga runcit domestik bagi disel akan meningkat kepada 44.24 baht seliter, berkuat kuasa 2 April.

Jawatankuasa itu berkata pengurangan subsidi itu dijangka mengurangkan perbelanjaan dana berkenaan kira-kira 362.76 juta baht sehari, daripada sekitar 1.80 bilion baht kepada kira-kira 1.47 bilion baht sehari.

Ini adalah kenaikan harga diesel kali ketiga dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, menyusuli kenaikan sebanyak 6.00 baht pada 26 Mac dan 1.80 baht pada 31 Mac.

Sementara itu, Suruhanjaya Pengawalseliaan Tenaga (ERC) meluluskan kenaikan 1.8 peratus bagi tarif elektrik untuk tempoh bil Mei-Ogos, dengan mengambil kira peningkatan kos tenaga global dan ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang.

Ketua Setiausaha ERC, Poolpat Leesombatpiboon berkata suruhanjaya itu telah mempertimbangkan maklum balas orang ramai sebelum meluluskan pelarasan di bawah mekanisme pelarasan tarif automatik (Ft).

“Kadar Ft ditetapkan pada 16.23 satang seunit (100 satang = 1 baht). Apabila digabungkan dengan tarif asas sebanyak 3.78 baht (10 baht = RM1.24) seunit, ini menjadikan purata caj elektrik sebanyak 3.95 baht seunit, tidak termasuk VAT,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, kadar Ft terbabit mencerminkan unjuran kos bahan api dan pembelian kuasa sebanyak 29.66 satang seunit bagi tempoh berkenaan.

Poolpat berkata Thailand kini mempunyai kira-kira 26 juta pengguna elektrik, di mana , sekitar 14.3 juta pengguna domestik menggunakan tidak lebih daripada 200 unit sebulan, merangkumi 62 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala kira-kira 17.5 juta atau 76 peratus, menggunakan tidak lebih daripada 300 unit.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment