Kenaikan OPR tambah beban rakyat

KUALA LUMPUR 3 Mei –  Keputusan Bank Negara (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus akan menambah beban hidup rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam, berkata ini kerana tahap pendapatan golongan itu tidak dapat mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang kini membelenggu rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata , keputusan menaikkan OPR juga akan memberi tekanan kepada rakyat yang mempunyai pinjaman.

“Apabila OPR naik, bayaran ansuran bulanan sedia ada kepada pihak bank pun akan naik dan ini menyukarkan kehidupan rakyat yang bergelut untuk membayar pinjaman mereka.

Keputusan ini juga akan menjejaskan pasaran saham serta pasaran perumahan kerana harga rumah dan hartanah dipengaruhi oleh perubahan OPR,” katanya mengulas keputusan BNM menaikkan kadar OPR.

Selain itu, kadar siling dan lantai koridor OPR turut dinaikkan, masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Wendy berkata, kenaikan OPR juga akan menyebabkan pelabur lebih berhati-hati sehingga harga rumah dan hartanah serta saham, jatuh.

“Ini akan menjejaskan situasi kewangan orang yang mempunyai rumah dan hartanah serta saham. Keputusan untuk menaikkan OPR akan membuatkan rakyat terpaksa menghadapi kadar faedah pinjaman dan kos sara hidup yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut mempersoal Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menggelar kenaikan OPR itu sebagai ‘angpau’ kecil kepada peminjam selepas BNM mengekalkan OPR 2.75 peratus pada Januari lalu, sama ada akan bersuara untuk rakyat lagi.

“Hanya tiga bulan sahaja, BNM mengumumkan kenaikan kadar faedah 25 mata asas dan OPR meningkat daripada 2.75 peratus kepada 3 peratus, ia terus kembali ke tahap separuh kedua 2019.

“Ini bermakna (kerajaan) mengambil semula ‘angpau’ kecil yang diberikan kepada rakyat dengan faedahnya. Sila jawab, Lim Guan Eng,” tegasnya.

Related posts

Leave a Comment