1.3 juta pekerja asing pelbagai sektor

PUTRAJAYA 1 Okt. – Setakat 26 September lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) meluluskan sejumlah 541,315 kuota pengambilan pekerja warga asing dan daripada jumlah itu sebanyak 436,613 kuota telah membuat bayaran levi.

Menurut KSM,  mengambil kira 1.3 juta pekerja warga asing sedia ada serta bilangan kuota yang telah diluluska, jumlah itu telah hampir memenuhi permintaan industri untuk keperluan guna tenaga pekerja warga asing.

Katanya, keperluan guna tenaga pekerja warga asing di Malaysia adalah dalam lingkungan 1.8 juta dan merupakan jumlah maksimum yang pernah dicapai.

Dalam satu kenyataan hari ini, KSM berkata setakat ini terdapat 1.3 juta pekerja warga asing di sektor-sektor yang dibenarkan pengambilan dan penggajian pekerja warga asing, termasuk sektor informal.

Katanya, pada masa yang sama, lebih 612,000 pekerja warga asing telah berdaftar dan lulus semakan Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan (PKK) di negara-negara sumber, manakala terdapat 228,321 pekerja warga asing atau bersamaan 37.3 peratus telah diluluskan Visa Dengan Rujukan oleh Jabatan Imigresen yang sedang menunggu masa untuk tiba di negara ini.

KSM berkata perbincangan telah diadakan dengan pihak industri mengenai isu kemasukan pekerja warga asing.

Menurut KSM, industri seperti sektor perladangan yang telah diberikan kelulusan kuota, tidak akan membawa masuk guna tenaga pekerja warga asing sekali gus sebaliknya secara berperingkat mengikut keperluan dan perancangan majikan.

.

Related posts

Leave a Comment