KUALA LUMPUR 9 Feb. – Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan kononnya beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan ia satu fitnah yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga dan sebahagian siri tohmahan jahat terhadapnya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim.
Katanya, sebagai Perdana Menteri pada masa itu beliau sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.
Beliau menjelaskan proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan.
“Ia bukan di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.
“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan sebagai merujuk laporan portal Free Malaysia Today semalam, 8 Februari 2023.
Muhyiddin mempersoalkan bagaimana beliau yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarganya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga.
Beliau juga mendakwa tohmahan itu sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.
“Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” katanya.
