Risiko jangkitan kunjung mengunjung

PUTRAJAYA 12 Mei – Kementerian Kesihatan mengingatkan masyarakat mengelakkan dari menghadiri sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat Hari Raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan.

Mereka juga diminta menangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi termasuk menziarahi kubur dan sentiasa  patuh pada prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya seperti yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan Covid-19 tidak mengenal mangsa, tempat, waktu, dan ketika.

Lebih membimbangkan, majoriti mereka yang dijangkiti tidak mempunyai gejala (78.4 peratus) dan ini menjadikan risiko jangkitan serta penularan adalah amat tinggi sekiranya aktiviti kunjung mengunjung pada hari raya tetap dilaksanakan.

“Sesiapa sahaja boleh dijangkiti sekiranya alpa dan mengambil sikap tidak endah. Marilah kita bersama-sama membantu diri kita, keluarga kita, kaum, dan masyarakat kita agar dihindari bahaya Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya mengambil iktibar dan berusaha untuk mengelakkan daripada dijangkiti virus Covid-19 yang penularannya dalam komuniti semakin meruncing.

“Peningkatan kluster terutamanya kluster rentas negeri, kenaikan sehingga 70 peratus kes jangkitan sporadik dalam komuniti dan kenaikan sehingga 80 peratus kes tidak bergelaja semakin membimbangkan,” katanya

Sehingga kini, jumlah kluster komuniti adalah sebanyak 435 di mana 129 kluster lagi masih aktif.

“Kluster-kluster komuniti ini berpunca daripada jangkitan kontak keluarga dan kontak rapat, aktiviti keraian, pengebumian, perkahwinan, perayaan, dan lain-lain aktiviti sosial,” katanya.

Justeru beliau meminta masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan khas pada musim perayaan ini iaitu:

  • Tiada rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan Kerajaan Negeri);
  • Solat Sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah; dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri;
  • Tiada majlis sosial seperti aktiviti ziarah dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Related posts

Leave a Comment