ISTANBUL – United Kingdom (UK) tidak akan menyertai sekatan Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz, sebaliknya London sedang bekerjasama dengan Perancis dan rakan-rakan lain untuk membentuk gabungan yang lebih luas bagi melindungi kebebasan pelayaran.
Menurut laporan media tempatan, UK akan terus menyokong kebebasan pelayaran dan pembukaan Selat Hormuz, yang amat diperlukan bagi menyokong ekonomi global serta kos sara hidup di dalam negara.
“Selat Hormuz tidak seharusnya dikenakan bayaran,” kata jurucakap kerajaan itu.
Sebelum ini, Trump memaklumkan tentera lautnya akan mula menyekat Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan ketegangan selepas rundingan panjang dengan Iran gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan Konflik.
Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) berkata, sekatan ke atas semua trafik maritim keluar masuk pelabuhan Iran akan bermula jam 10 pagi waktu tempatan AS (1400 GMT).
Menurut kenyataan di platform X, tindakan itu akan dilaksanakan secara saksama terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan dan kawasan pesisir Iran, termasuk di Teluk Arab dan Teluk Oman.
Bagaimanapun, pasukan AS tidak akan menghalang kebebasan pelayaran bagi kapal yang melalui Selat Hormuz ke pelabuhan bukan Iran, selain maklumat lanjut akan dimaklumkan kepada pengendali kapal sebelum sekatan dilaksanakan.
Trump dalam hantaran media sosial berkata, AS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kapal di perairan antarabangsa yang membayar tol kepada Iran serta akan memusnahkan periuk api yang didakwa dipasang Iran di laluan strategik itu, yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan tenaga global.
Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula memberi amaran kapal tentera yang menghampiri selat itu akan dianggap melanggar gencatan senjata dan akan dikenakan tindakan tegas, sekali gus meningkatkan risiko eskalasi konflik.
Nnn
