Cadang tangguh PRN Melaka, Johor

KULAI 13 April – Susulan krisis geopolitik Asia Barat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Dr Ahmad Maslan akan membawa usul bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Johor dan Melaka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata berdasarkan pandangan logik politik, tidak mungkin pilihan raya dapat dilaksanakan dalam keadaan geopolitik tidak menentu dengan kesusahan dialami rakyat ketika ini.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat ini yang akan berlangsung di Melaka.

“Tak perlu mesyuarat besar pun untuk menyatakan itu dari segi logik politik. Apabila geopolitik payah, masalah harga barang begitu begini, tak akan kita nak buat pilihan raya ketika masalah ini berlaku.

“Jadi, saya ingin mengesyorkan apabila masalah selesai, baru kita boleh pilihan raya dengan tenang. Selagi keadaan tidak tenang, maka PRN Melaka dan Johor perlu difikirkan satu tarikh yang paling strategik,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai di sini, hari ini.

PRN Johor dilaksanakan pada Mac 2022 dan mandat kerajaan negeri itu dijangka tamat pada Mac 2027, manakala PRN Melaka dibuat pada November 2021 dan tamat mandatnya akhir tahun ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau juga sudah mencadangkan kepada MKT supaya PRN kedua-dua negeri itu dilaksanakan serentak bagi menjimatkan kos.

Nnn

Related posts

Leave a Comment