Tiada keperluan hukuman mati pemandu mabuk

KUALA LUMPUR 13 April – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati pada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi kes membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Katanya, undang-undang sedia ada sudah membolehkan kes serius didakwa di bawah peruntukan bunuh khususnya Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika bersesuaian.

Pada masa sama, katanya, Malaysia juga sudah menghentikan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan berat dan kerajaan tidak bercadang memperkenalkannya semula bagi kesalahan seumpama itu.

“Setakat ini, kerajaan sudah menghentikan hukuman mati mandatori. Jadi, perkara ini bukan dalam pertimbangan kami,” katanya selepas menghadiri program keselamatan jalan raya di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini berkata, hukuman bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah mungkin perlu diperketatkan lagi, walaupun pindaan dibuat pada 2020.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan mempertimbangkan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada gagal menjadi pencegah, merujuk kepada kes kemalangan maut berulang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk insiden di Klang baru-baru ini yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

Dalam kejadian pada 29 Mac lalu, penghantar makanan, Amirul Hafiz Omar maut selepas terbabit kemalangan dengan pemandu disyaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.

Loke berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh APJ bagi memastikan keluarga mangsa menerima pampasan tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang.

“Apa yang kita pinda adalah untuk memastikan ada pampasan kepada keluarga mangsa. Jika didapati bersalah, selain hukuman penjara dan denda, pesalah juga bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

“Kita mengemukakan cadangan ini kerana pada masa ini, saluran untuk keluarga mangsa adalah melalui tindakan sivil yang rumit, mengambil masa dan kos tinggi.

“Jadi, daripada mereka perlu mengambil tindakan sivil, kita boleh menambah peruntukan dalam undang-undang sedia ada supaya selain hukuman penjara, pesalah juga perlu membayar pampasan itu,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan dalam proses merangka pindaan ini bersama Jabatan Peguam Negara dan berharap APJ dapat dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment