Galeri Pak Lah kumpul 10,000 bahan

TANJONG 11 April – Lebih 10,000 bahan berkaitan bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dikumpul sebagai persediaan pembinaan Galeri Peringatan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Vision Park, Bertam, dekat sini.

Ketua  Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor, berkata bahan berkenaan termasuk pelbagai rekod penting termasuk dokumen pembabitan beliau dalam arena politik dan hubungan antarabangsa.

“Secara keseluruhan lebih 10,000 bahan telah dikumpulkan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri serta pelbagai pihak termasuk surat rasmi sepanjang pentadbiran beliau, rekod pembabitan dalam parti politik serta dokumen lawatan rasmi ke luar negara.

“Turut dikumpulkan ialah bahan berkaitan ucapan beliau di peringkat antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya selepas Program Kayuhan Jejak Seniman: Rumah Kelahiran P Ramlee di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang meluluskan sebidang tanah di Vision Park, Bertam, Kepala Batas bagi pembinaan memorial berkenaan sebagai usaha memperingati jasa dan legasi Pak Lah.

Zaidin berkata, antara aspek yang akan diketengahkan termasuk kepimpinan Tun Abdullah seperti konsep Islam Hadhari.

Menurutnya, projek Galeri Peringatan Tun Abdullah Ahmad Badawi dijangka dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), tertakluk kepada kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment