BEIRUT – Sebanyak lima juta lagi penduduk berpendapatan sederhana dan rendah di negara-negara Arab dijangka mengalami kebuluran berikutan kenaikan 20 peratus harga makanan global.
Demikian amaran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat (ESCWA).
Agensi itu melabelkan risiko berkenaan sebagai mendadak dan semakin meruncing, terutamanya bagi negara-negara rapuh dan terjejas akibat konflik yang amat bergantung kepada import makanan serta mempunyai kapasiti fiskal yang terhad untuk menyerap kejutan ekonomi.
Laporan bertajuk “Conflict and its shockwaves: escalating impacts and risks for energy, water and food systems in the Arab region,” itu menggariskan bagaimana ketegangan serantau yang sedang berlaku mencetuskan gangguan saling berkait merentasi sektor utama, dengan kesan yang berpotensi teruk terhadap kestabilan ekonomi dan keselamatan manusia.
Menurut ESCWA, pasaran tenaga mengalami impak yang paling mendesak.
Eksport minyak negara-negara Teluk jatuh mendadak – sebanyak 75 peratus hingga 90 peratus – sejak bermulanya konflik Iran-AS-Israel pada 28 Februari manakala harga minyak melonjak melebihi AS$112 setong, sebahagiannya didorong oleh gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Lonjakan kos pengangkutan dan insurans yang menyusul kemudiannya telah menyemarakkan inflasi serta melebarkan defisit belanjawan di seluruh rantau itu.
Dalam pada itu, keselamatan air turut berdepan ancaman yang semakin meningkat.
Hampir 40 juta penduduk di negara-negara Teluk bergantung kepada air tawar daripada proses penyahgaraman yang bersumberkan air Teluk, menyebabkan mereka terdedah kepada potensi kerosakan infrastruktur tenaga dan penyahgaraman atau pencemaran akibat konflik.
ESCWA memberi amaran bahawa sebarang gangguan berpanjangan boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan dengan pantas.
Sistem makanan yang sedia tertekan kini menghadapi tekanan tambahan memandangkan rantau itu mengimport sebahagian besar bijirin dan mengekalkan simpanan terhad – yang biasanya hanya meliputi penggunaan untuk tempoh lebih sedikit daripada tiga bulan.
Nnn
