KOTA BHARU 28 Mac – MIC menerusi Presidennya, SA Vigneswaran membuat permohonan untuk menjadi ahli anggota Perikatan Nasional (PN) dengan menghantar surat kepada PN pada 15 November tahun lalu.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata surat permohonan dihantar kepada Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjawat jawatan Pengerusi PN.
Beliau berkata menerusi permohonan berkenaan, pihaknya meneliti dan membincangkan permohonan daripada MIC sebelum diterima sebagai parti anggota PN pada Disember lalu.
Katanya, permohonan untuk diterima semula ke dalam PN disebabkan MIC menganggap mereka adalah pengasas bersama PN, memandangkan ketika PN ditubuhkan, terdapat tiga parti iaitu Pas, Bersatu dan MIC.
MIC antara pengasas namun disebabkan dia kekal dalam BN, maka dia mohon untuk diterima masuk semula.
“Hari ini saya mahu jelaskan kita mempunyai bukti berhubung surat permohonan yang dibuat oleh MIC menerusi Presidennya pada November tahun lalu yang mahu kembali menyertai PN.
“Jika MIC mengatakan mereka tidak pernah memohon untuk menjadi ahli anggota parti PN, sila buktikan kerana kita mempunyai bukti permohonan berkenaan.
“Malah pada 14 Mac lalu, permohonan berkenaan disahkan secara rasmi menerusi mesyuarat PN yang meluluskan kemasukan MIC dalam PN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebaik permohonan kemasukan itu diterima, PN mengeluarkan surat tawaran secara rasmi kepada MIC memaklumkan sama ada mereka menerima permohonan menyertai PN.
Bagaimanapun hasil mesyuarat pada 25 Mac, MIC menerusi kenyataan media memaklumkan tidak menerima untuk menyertai PN.
“Tidak mahu terima tiada masalah, MIC hanya ada satu kerusi Parlimen bukannya 10 kerusi dan ia tidak menjadi masalah kepada PN. PN bersama dengan empat parti anggota sudah mencukupi dan saya tegaskan di sini PN bukan parti untuk dijual dan bukannya hotel. Yang nak jadi ahli PN, kena memohon.
“Mereka tidak mahu sertai terpulang dan tiada masalah buat kami. Malah, PN juga kini sedang memproses beberapa permohonan parti untuk menyertai PN,” katanya.
Menerusi surat yang ditandatangani Vigneswaran yang ditunjukkan Takiyuddin, surat berkenaan dihantar secara serahan tangan kepada Muhyiddin dengan tajuk kemasukan semula ke dalam PN.
Menerusi surat berkenaan, MIC juga memohon pencerahan berhubung empat perkara termasuk adakah kemasukan mereka semula secara automatik dan tanpa sebarang prasyarat selain jawatan pimpinan MIC dalan PN serta agenda PN untuk masyarakat India.
Media sebelum ini melaporkan, MIC membuat keputusan untuk mengekalkan status quo dan kekal bersama Barisan Nasional (BN) buat masa ini susulan perubahan kepimpinan dalam PN.
Timbalan Presiden, M Saravanan berkata, keputusan untuk meneroka potensi kerjasama dengan PN dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti tahun lalu, ketika Muhyiddin masih lagi Pengerusi PN.
Nnnnn
