WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran akan menyerang dan “menghapuskan” loji-loji janakuasa utama negara itu sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.
Presiden Donald Trump, mengeluarkan ugutan terbaharu melalui platform media sosial beliau, Truth Social, pada Sabtu.
Ancaman itu sekali lagi meningkatkan ketegangan dalam konflik AS–Israel–Iran yang kini memasuki minggu ketiga dengan serangan saling balas di seluruh rantau Asia Barat.
Selat Hormuz merupakan laluan penting untuk eksport minyak global, dengan kira-kira 20 peratus petroleum dunia melalui laluan sempit antara Iran dan Oman itu.
Sejak bermulanya serangan AS-Israel pada 28 Februari, Iran telah mengurangkan atau menyekat laluan kapal-kapal tertentu, menyebabkan harga minyak global melonjak serta menjejaskan rantaian bekalan tenaga antarabangsa.
Washington menuduh Tehran menggunakan selat itu sebagai alat tekanan geopolitik, manakala Iran pula mendakwa ia bertindak balas terhadap serangan ketenteraan terhadap wilayah dan infrastrukturnya.
Trump sebelum ini pernah memberi amaran bahawa AS akan menyerang 20 kali lebih kuat terhadap Iran sekiranya negara itu menghalang aliran minyak melalui Selat Hormuz.
Beliau juga menyatakan AS sudah “menghapuskan” sasaran tentera tertentu milik Iran sebagai amaran awal, namun mengelakkan serangan ke atas infrastruktur tenaga.
