Bersatu pecat Chegubard

SEPANG 19 Mac  – Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan memecat Ketua Bersatu bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkuat kuasa semalam.

Notis pemecatan memetik Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu,  Mohd Radzi Manan memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada Che Gubard dalam tempoh ditetapkan, susulan surat bertarikh 10 Mac itu.

Sehubungan itu, Lembaga Disiplin memutuskan bahawa beliau dipecat daripada keahlian parti di bawah Fasal 22.5, berkuat kuasa serta-merta semalam atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Bagaimanapun, Che Gurbard boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis berkenaan.

Semalam, pada sidang medianya di Port Dickson, Chegubard yang sebelum ini mengesahkan menerima notis tunjuk sebab pada 10 Mac lalu menegaskan, tidak akan menjawab notis tunjuk sebab yang diterima setelah diberi peluang tujuh hari untuk berbuat demikian.

Chegubard berkata, keputusan itu dibuat kerana menganggap soalan dikemukakan berhubung beberapa tuduhan terhadapnya tidak munasabah.

“Saya tidak mahu merendahkan intelektual saya untuk menjawab soalan itu dan bersedia menerima sebarang keputusan Lembaga Disiplin,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Port Dickson.

Chegubard berkata isu yang dibangkitkan termasuk sidang media pada 9 Julai lalu yang didakwa memburukkan parti, selain kenyataan di media sosial yang menggunakan perkataan ‘barua’ dan ‘mangkuk hayun’ terhadap pimpinan parti.

Beliau mendakwa situasi itu seolah-olah menunjukkan parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan, malah individu yang mengkritik kerajaan secara agresif dilihat sebagai musuh parti.

Nnn

Related posts

Leave a Comment