Peluang umrah asnaf, warga emas JKM

SEPANG 18 Mac  – Tajaan menunaikan ibadah umrah secara percuma oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) adalah suatu usaha yang amat bermakna bagi memberi peluang kepada asnaf Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pengarah JKM,  Che Murad Sayang Ramjan berkata, langkah Andalusia itu membuka peluang kepada golongan kurang berkemampuan menunaikan umrah, di samping mencerminkan keprihatinan sektor swasta terhadap kebajikan masyarakat.

“Usaha murni ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai individu berpeluang merasai pengalaman spiritual yang amat berharga ini,” katanya di KLIA pagi ini.

Beliau bersama para pegawainya mengucapkan selamat berangkat kepada 45 jemaah umrah yang terdiri daripada 41 asnaf dan penghuni Rumah Seri Kenangan serta empat pengiring JKM yang terpilih menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Andalusia itu.

Turut sama berada di KLIA adalah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah dan Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris

Dalam pada itu, Che Murad Sayang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Andalusia yang terus menaja program umrah pada tahun ini, kali ketiga selepas kejayaan penganjuran pada tahun 2018 dan 2019.

Beliau turut menasihatkan para jemaah serta pegawai pengiring agar sentiasa menjaga kesihatan diri serta mengutamakan aspek keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci, khususnya di Makkah dan Madinah.

Beliau juga mengingatkan para jemaah agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Che Murad Sayang turut mendoakan agar semua jemaah dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan sepanjang perjalanan, serta memperoleh umrah yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air dengan penuh keberkatan.

Menurut beliau lagi setiap jemaah diberi wang saku termasuk dari pihak berkenaan dan juga JKM sendiri dengan sekurang-kurangnya setiap seorang mempunyai wang saku berjumlah RM2,000.

Jemaah yang dipilih berusia dalam lingkungan sekitar 60 hingga 70 tahun dan telah melalui proses saringan bagi memastikan mereka berkeupayaan mengurus diri serta menunaikan ibadah dengan baik.

“Sebenarnya Andalusia dalam beberapa minggu sudah telah mengadakan kunjungan ke JKM bagi mengadakan progrm kerjasama dan saya sempat berseloroh mana tahu tahun ini boleh dapat menaja beberapa orang.

“Alhamdulillah, Andalusia bukan setakat menaja empat hingga lima orang tetapi 45 jemaah. Mudah-mudahan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Daharah Bahatin, 75 dari Perlis mendoakan agar dirinya diberi kesihatan dan kekuatan supaya dapat menunaikan umrah dengan sempurna.

“In syaa Allah Tok dapat rezeki buat umrah, Tok dah berumur, kaki patah tapi ada orang tolong tolak, boleh Tok pi , doakan Tok,” katanya yang tinggal di rumah orang tua di Perlis.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment