BAITULMUQADDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyuarakan ancaman tersirat untuk membunuh Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei dan pada masa sama tidak menolak kemungkinan perang yang dilancarkan bersama Amerika Syarikat (AS) gagal membawa kejatuhan kerajaan ulama Iran.
Bercakap pada sidang media pertamanya sejak perang itu meletus, Netanyahu juga mendakwa bahawa Iran ‘kini tidak lagi sama’ selepas berdepan serangan sejak 28 Februari lalu yang menjejaskan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pasukan separa tentera Basij.
Selain itu, Netanyahu berikrar untuk terus melancarkan serangan terhadap kumpulan Hizbullah di Lubnan yang bertindak balas terhadap Israel atas pembunuhan Pemimpin Agung Iran sebelum ini, Ayatollah Ali Khamenei.
Menjawab soalan melalui pautan video, Netanyahu turut ditanya mengenai tindakan yang mungkin akan diambil Israel terhadap Mojtaba Khamenei dan pemimpin Hizbullah, Naim Qassem.
“Saya tidak berhasrat untuk memberikan laporan tepat di sini mengenai perancangan kami atau apa yang kami akan lakukan,” katanya.
Ditanya sama ada Israel membekalkan senjata kepada pembangkang Iran dan juga perihal tindakan Israel berkemungkinan akan gagal meruntuhkan Kerajaan Iran ketika ini pula, Netanyahu mendakwa bahawa Kerajaan Iran tetap akan lemah walaupun jika tidak dapat dijatuhkan.
“Saya tidak akan memperincikan tindakan yang kami sedang ambil. Kami sedang mencipta keadaan optimum untuk menggulingkannya.
“Saya tidak akan menafikan bahawa saya tidak dapat memberitahu anda dengan pasti yang rakyat Iran akan menggulingkannya – sesuatu rejim itu digulingkan dari dalam – tetapi kami pasti boleh ‘membantu’ dan kami sedang melakukannya,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Donald Trump pula mendakwa bahawa Washington sedang ‘menghancurkan sama sekali rejim Iran’.
