Mojtaba Khamenei kurang menonjol

TEHRAN – Mojtaba Khamenei, anak Pemimpin Agung Iran, Allahyarham Ali Khamenei dilantik sebagai ketua baharu Republik Islam itu, satu peralihan kuasa bersifat turun-temurun yang pernah ditolak oleh ayahnya pada 2024.

Badan ulama tertinggi, Majlis Pakar Iran dalam satu kenyataan menamakan Khamenei, 56 sebagai Pemimpin Agung.

Calon lain untuk jawatan tertinggi itu termasuk Alireza Arafi, salah seorang daripada tiga anggota majlis pemangku yang mentadbir negara, tokoh garis keras Mohsen Araki dan juga Hassan Khameini, cucu kepada pengasas Republik Islam pada 1979.

Dilahirkan pada 8 September 1969 di Mashhad di timur Iran, Mojtaba Khamenei kurang menonjol dalam upacara rasmi dan satu‑satunya anak kepada bekas pemimpin itu yang memegang kedudukan awam, walaupun tidak pernah menyandang jawatan rasmi.

Ulama itu sering digambarkan sebagai berperanan di belakang tabir, juga dianggap dekat dengan golongan konservatif, khususnya kerana hubungannya dengan Pengawal Revolusi (IRGC), sayap ideologi ketenteraan Republik Islam.

Hubungan itu bermula sejak khidmatnya bersama unit tempur pada penghujung perang Iran–Iraq yang berlangsung dari 1980 hingga 1988.

Dari sudut keagamaan, Mojtaba Khamenei menuntut dalam bidang teologi di kota suci Qom, selatan Tehran, di mana beliau juga mengajar.

Beliau mencapai pangkat Hujjat al‑Islam, gelaran bagi ulama pertengahan — satu aras di bawah gelaran Ayatollah yang disandang oleh bapanya dan oleh pemimpin revolusi Ruhollah Khomeini. 

Isterinya, Zahra Haddad‑Adel, anak kepada bekas Speaker Parlimen, turut dilaporkan terbunuh dalam serangan AS–Israel yang meragut nyawa Pemimpin Agung, menurut pihak berkuasa Iran.

Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan terhadap Mojtaba Khamenei pada 2019, ketika penggal pertama Presiden Donald Trump, dengan menyatakan beliau mewakili pemimpin agung “walaupun tidak pernah dipilih atau dilantik ke jawatan kerajaan selain tugas di pejabat bapanya”. 

Ayatollah Ali Khamenei didakwa “mendelegasikan sebahagian tanggungjawab kepemimpinannya” kepada anaknya “yang bekerja rapat” dengan pasukan keselamatan Iran “bagi melaksanakan cita-cita serantau yang mengganggu kestabilan dan objektif penindasan dalam negeri” bapanya.

Israel telah mengeluarkan amaran keras kepada Pemimpin Agung baharu dan mana‑mana pihak yang melantiknya, dengan menyatakan bahawa “tangan Negara Israel akan terus menjejaki mana‑mana pengganti dan sesiapa yang berusaha melantik pengganti”.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment